Sabtu, 02 Februari 2013

Aku Budak Minang


Sekadar berkongsi cerita...antara cerita yang paling aku suka...diadaptasi daripada komik asal...yang juga antara koleksiku waktu kecik2..ntah bape kali aku khatam baca komik ni yang tidak jemu dibaca...sekarang bila dah ditayangkan dalam bentuk drama..tak kurang hebatnya...memang seronok...teringat balik asal usulku yang aku ni budak minang juga (walaupun loghat tak berapa pandai..huhu..malu2)..bagi yang tak pernah tengok bolehla tonton setiap hari Selasa pukul 8.30 malam di TV2....

Ringkasan Drama

Language : Malay

Subtitle : None


Synopsis / Info

SIAPA tak kenal kartunis bernama Ujang. Watak kartun yang dicetuskan personaliti itu membesar bersama kelompok peminatnya sendiri. Selama tempoh itu jugalah nama Ujang begitu gah di hati pengikutnya. Namun di sebalik itu, tiada siapa tahu kehidupan silam kartunis popular itu hingga wujud karakter kartun popular ciptaannya. Dan pastinya drama bersiri Aku Budak Minang arahan Zulkifli M Osman terbitan Niscam Media Sdn Bhd menyelongkar suka duka Ujang atau nama sebenarnya, Ibrahim Aton, 43, sejak zaman kanak-kanak hinggalah dewasa.

Aku Budak Minang diadaptasikan daripada jalan cerita dan kisah yang dipaparkan dalam komik Ujang terbitan Creative Enterprise. Menerusi 13 episod, ia telah menemui penonton di kaca TV2. . Menampilkan Along (Kumpulan Cham) selaku Ujang, selain Baharuddin Omar (Atuk), Zila AF (Anor), Rosman Mohd Roslan (Aca), Maimunah Ahmad (Emak), Maimon Talib (Mak Lijah), Adzriq Adam (Zaini), Mohd Affiq Azman (Bujal) dan Enot (kakak).

Ujang berkata, inilah karya pertamanya yang diangkat ke kaca televisyen selepas 25 tahun bergelar kartunis. “Sebahagian watak yang diwujudkan adalah karakter kartun yang pernah diangkat dalam komik Aku Budak Minang, manakala sebahagiannya adalah rekaan semata-mata. Ada watak yang diwujudkan tidak menggunakan nama sebenar bagi menjaga identiti mereka yang pernah bersama dan membantu saya selama ini. “Saya berterima kasih kepada penerbit, Adam Mat dan pengarah, Zulkifli yang berminat mengetengahkan karakter kartun dan kisah hidup saya ke drama TV. Hampir 90 peratus jalan cerita yang dipaparkan berasaskan penceritaan dalam komik Aku Budak Minang,” katanya ketika dihubungi B*Pop.
Ujang berkata, kebanyakan watak kartun yang diwujudkan mempunyai pertalian dalam hidupnya. Apabila mengetengahkan karakter kartun Aku Budak Minang sekali gus menyingkap kehidupan silamnya. “Watak Ujang, Atuk, Aca dan Emak adalah mereka yang menjadi sebahagian hidup saya. Mereka inspirasi saya dalam menghasilkan karya selama ini. Bagaimanapun, saya juga insan biasa yang menjalani hidup seperti orang lain. Apa yang berlaku pada diri saya ketika zaman kanak-kanak hingga dewasa menjadi paparan karya saya. “Ibu pernah berkecil hati gara-gara saya mematikan wataknya dalam komik saya. Sekampung heboh mengatakan ibu meninggal dunia apabila saya mematikan watak ibu dan ayah dalam komik. Begitulah impak komik saya sehingga mereka benar-benar percaya ibu saya sudah meninggal dunia sedangkan niat saya hanya mahu mematikan watak ibu dan ayah dalam karya saya. Selepas menjelaskan perkara sebenar, ibu barulah faham, saya hanya berkarya. Saya tak pernah lupa, ibu antara pendorong kejayaan saya selama ini, manakala ayah pula sudah meninggal dunia,” katanya. Anor menjadi kekasih Ujang di kampung.

Akuinya, mungkin ada yang menganggap kisah hidupnya penuh ranjau duri apabila sering dipukul ibu ketika kecilnya. Dia juga pernah lari dari kampung selepas berkecil hati dengan keluarga. “Bagaimanapun, keluarga tidak pernah bersalah dalam apa juga perkara. Selepas kelahiran adik, Aca, saya sendiri rasa dipinggirkan. Akibat sering membuli Aca yang dilahirkan cacat, saya sering dirotan. Di sekolah pula saya menjadi kepala samseng dan sering membuli pelajar lain sebagai tanda protes apabila di rumah sering dipukul. Apabila direnungkan kembali, ibu memukul saya untuk mengajar saya menjadi anak berguna. Tiada ibu bapa yang tidak sayangkan anak-anak,” katanya.

Sementara itu, Along berkata, jalan cerita yang dipaparkan cukup unik kerana mengetengahkan sepenuhnya latar belakang dan cara hidup masyarakat Negeri Sembilan selain menggunakan negeri Adat Pepatih itu sepenuhnya. “Saya terharu apabila watak Ujang ini ditawarkan oleh kartunis itu sendiri. Beliau datang mencari saya ketika saya berada di Gelanggang Raja Lawak lagi. Tak mungkin saya melepaskan peluang keemasan ini kerana saya antara jutaan peminat kartun dan majalah karya Ujang. Saya masih ingat lagi, saya sanggup mengikat perut untuk membeli komik Ujang ketika waktu persekolahan. Mulanya saya tak yakin mampu membawa watak Ujang kerana memerlukan saya berdialog Negeri Sembilan, sedangkan saya berasal dari Johor. Tentu saya berdepan masalah. “Namun, Ujang memberikan saya semangat dan begitu yakin dengan saya. Sebelum ini, saya sering juga bertemu Ujang dalam majlis tertentu, tetapi saya segan mendekatinya, maklumlah siapalah saya. Bagaimanapun, saya tak sangka Ujang memerhatikan saya dan memilih saya untuk membawakan watak dirinya,” katanya.
Along berkata, dia tidak menyangka di sebalik karakter kartun yang diwujudkan mempunyai cerita berkaitan hidup Ujang. “Selepas membawakan watak Ujang, barulah saya dapat menyelami siapa diri Ujang yang sebenar. Saya diberitahu dialog dalam drama Aku Budak Minang berasaskan komik berkenaan, hanya sedikit saja ubah suai dilakukan. Ujang digambarkan sebagai seorang budak yang sering dipukul ibunya kerana suka membuli adiknya, Aca yang cacat. Ujang memberontak di sekolah. Sunguhpun begitu, Ujang sebenarnya menyayangi Aca, jangan ada yang mengutuk keluarga terutama adiknya yang cacat, pasti kena pukul. “Atuk dan Anor menjadi tempat Ujang meluahkan perasaan. Air mata saya tak habis-habis menitis ketika melakonkan babak Ujang di kubur nenek, mengadu dirinya tidak disayangi keluarga,” katanya.

- SUMBER DARIPADA BERITA HARIAN -

Tidak ada komentar:

Posting Komentar